Wednesday, 17 July 2013

Hakikat Pengorbanan

Pengembaraan ke Tanah Suci bukanlah satu perjalanan yang selesa, bukan jua sebuah pengembaraan untuk bergembira apalagi untuk bersuka ria maupun mengharapkan keselesaan apabila tiba ke destinasi. Kembara ini adalah satu perjuangan menuntut pengorbanan, menagih keringat, meruntun perasaan, seorang hamba menuju penciptanya ... Allah Azawajalla. Namun disebalik jerih payah menungkah ranjau telah tersedia kemanisan yang tiada tandingan dengan seisi alam ini.
Mengembara ke Tanah suci perlu berbekalkan niat yang benar-benar ikhlas dan hati yang suci bersih. Hati perlu diisi dengan iman dan taqwa dengan segala perhiasan mulia. Tenang, sabar, bertolak ansur, merendah diri, murah hati, berbaik sangka, syukur, redha, tawakal adalah antara sifat mahmudah hiasan diri bekalan seorang hamba yang akan mengunjungi Tanah Haramain yang penuh berkat dan suci.
Penyucian diri daripada sifat mazmunah haruslah dilakukan sejak diri berniat untuk menunaikan haji. Justeru sifat keji seperti pemarah, sombong, mementingkan diri, bangga diri, keluh kesah, bakhil, mengumpat, mengungkit-ungkit, berbantahan, buruk-sangka adalah antara sifat yang perlu dijauhi kerana dengan cara ini sahaja haji kita akan diterima Allah SWT.
Di Tanah Suci kelak kita akan diuji dengan pelbagai ujian Allah SWT. Berdoalah memohon keampunan Allah, ketabahan hati menghadapi segala dugaan dan mohonlah jua agar Allah menganugerahi kita haji yang mabrur. Inilah darjat tertinggi lagi mulia disisi Allah SWT. Rasullullah bersabda, "Haji yang mabrur, lebih baik dari dunia dan isinya dan haji yang mabrur tiada balasan lain, selain syurga" (Riwayat Abu Hurairah).
Ibarat ingin mendapat kenaikan pangkat, sesungguhnya kita akan dinilai bukannya diberi secara percuma. Begitu juga haji. Allah pasti akan menguji kita dengan segala kepayahan dan kesukaran baik ujian rohani maupun jasmani selain terpaksa menempuh perjalanan yang jauh lagi memeritkan.
Inilah yang digambarkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya, "Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh". (Al-Haj:27)


No comments:

Post a Comment